Selasa, 30 Oktober 2018

Refleksi Kuliah Minggu 7


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

            Entri blog ini adalah tentang aktiviti minggu 7 yang dilakukan oleh pelajar HMT411 iaitu pada hari Rabu, 24 Oktober 2018. Pada hari tersebut, kami telah diberi satu tugasan berkenaan ujian anova. Tugasan ini dilakukan dalam kumpulan iaitu seramai empat orang satu kumpulan. Kami dikehendaki membuat satu video berkenaan dengan ujian Anova menggunakan aplikasi screen-o matic. Daripada aplikasi tersebut, kami dapat menghuraikan cara ujian anova dilakukan, syarat dan hipotesis ujian tersebut. Penggunaan aplikasi screen-o matic merupakan satu perkara baharu yang tidak pernah saya pelajari selama ini. Oleh itu, tugasan ini dapat memberi pengalaman kepada saya dan rakan-rakan bagaimana cara untuk menggunakan aplikasi tersebut.


Sumber: Pemilik Camera
            Pada minggu yang sama, kami diminta untuk menemu bual seorang graduan PhD. Tugasan ini dibuat dalam kumpulan yang sama. Temu bual dibuat setelah upacara konvokesyen selesai. Bagi saya, tugasan ini sedikit mencabar kerana kami perlu mencari graduan yang betul-betul ingin bekerjasama dengan kami untuk ditemu bual. Setelah beberapa minit, kami telah menemui seorang graduan yang berasal dari Sabah. Beliau menceburi dalam bidang Kaunserling. Beliau seorang yang mesra dan sudi bekerjasama dengan kami untuk ditemu bual. Akhir kata, beliau berpesan kepada semua agar jangan berputus asa dan sentiasa menimba ilmu sepanjang hidup. 


Sekian, terima kasih.

Khamis, 18 Oktober 2018

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu 6


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri blog ini adalah tentang aktiviti kuliah yang dijalankan oleh para pelajar HMT411 pada 17 Oktober 2018. Kuliah ini dikendalikan oleh Dr. Norsofiah selama tiga jam. Dr. Norsofiah telah menerangkan tentang etika atau adab yang perlu dilakukan oleh kami untuk membuat kajian kelak. Etika atau adab itu bermaksud kami perlu menyediakan borang maklumat latar belakang dan borang kebenaran subjek sebelum mendapatkan sesuatu data.

Selain itu, beliau juga turut membincangkan lebih lanjut tentang tajuk kajian yang bakal kami jalankan. Beliau juga telah membetulkan beberapa perkara yang tidak menepati dengan tajuk kajian kami seperti kriteria yang perlu ada kaitan dengan borang maklumat latar belakang subjek.
Beliau juga telah menayangkan satu video kepada kami. Beliau menyuruh kami memerhati video tersebut dan mencatat apa yang diperhatikan dalam video tersebut. Aktiviti ini bertujuan untuk membantu pelajar mengaplikasikan dalam kajian yang akan dijalankan nanti. Pemerhatian terbahagi kepada dua iaitu pemerhatian penuh dan pemerhatian dan peserta. Pemerhatian penuh bermaksud seseorang itu hanya memerhati secara penuh manakala pemerhatian dan peserta bermaksud seseorang itu menjadi peserta dan memeerhati secara senyap.

Seterusnya, beliau telah menerangkan tentang pemboleh ubah. Pemboleh ubah bermaksud satu entiti yang berubah-ubah atau mempunyai nilai yang berubah-ubah dari satu individu ke individu lain. Pemboleh ubah terbahagi kepada dua iaitu pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak bersandar.
Sumber: Google image

Akhir sekali, beliau juga menerangkan tentang hipotesis. Hipotesis bermaksud pernyataan yang melibatkan pemboleh ubah dalam kajian. Hipotesis terbahagi kepada dua iaitu:
1) Hipotesis Nul (Ho): Menyatakan bahawa “tiada perkaitan” atau “tiada perbezaan” antara jantina dan umur.
2) Hipotesis alternatif: Menyatakan kecenderungan untuk mendapatkan hasil kajian dengan membina pula hipotesis kajian.

            Manakala aktiviti tutorial yang dijalankan pada hari Khamis ialah pelajar dikehendaki melakukan ujian T-Test menggunakan perisian SPSS. Ujian T- Test memerlukan data yang normal iaitu dengan melalui ujian normaliti. Tujuan membuat ujian T-Test adalah untuk melihat sesuatu ujian itu bermakna dengan nilai signifikan.

Sekian sahaja entri saya pada hari ini. Wassalam.

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu 5


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri blog ini ditulis bertujuan untuk menceritakan tentang aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar HMT411 pada hari Rabu bersamaan 11 September 2018. Aktiviti tersebut ialah pembentangan proposal. Tema yang diberikan oleh pensyarah ialah “Bahasa di USM”. Pembentangan ini berlangsung selama 3 jam oleh 9 kumpulan. Setiap kumpulan diberikan masa 10 minit untuk membuat pembentangan dengan tajuk kajian masing-masing. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu dibentangkan iaitu pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kajian literatur, metodologi dan juga teori yang digunakan dalam kajian tersebut.

Pembentangan dinilai oleh dua orang pensyarah iaitu Dr. Radiah dan Dr. Norsofiah. Pelbagai komen dan kritikan yang diberikan oleh kedua-dua pensyarah tersebut. Komen dan kritikan yang diberikan adalah bertujuan untuk kami menambah baik perkara yang perlu ada dalam kajian kami.

Selain itu, aktiviti tutorial pula dijalankan pada hari Khamis bersamaan 12 September 2018. Semasa aktiviti tutorial berlangsung, pelajar dikehendaki untuk memasuki data yang diberikan ke dalam SPSS. Hal ini bertujuan untuk melatih pelajar memasuki data dengan betul menggunakan perisian tersebut.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

Isnin, 8 Oktober 2018

Refleksi Kuliah Minggu 4

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri blog ini ditulis bertujuan untuk menceritakan serba sedikit tentang aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar HMT411 ketika kuliah berlangsung pada hari Rabu bersamaan 3 Oktober 2018. Kuliah ini dikelolakan oleh Dr. Norsofiah.

Dalam kuliah tersebut, beliau telah menerangkan tentang statistik dalam kaedah kuantitatif. Statistik terbahagi kepada dua bahagian iaitu statistik inferensi dan statistik deskriptif.
i) Statistik inferensi: Boleh membuat kesimpulan.
ii) Statistik deskriptif: Digunakan untuk menghuraikan ciri-ciri pemboleh ubah.

Sumber: Google
Dalam kuliah ini, beliau lebih menfokuskan tentang statistik deskriptif. Statistik deskriptif selalunya menggunakan istilah seperti min, mod, median, dan sisihan piawai. Statistik deskriptif tidak boleh membuat generalisasi atau secara umum. 

Selain itu, beliau juga menerangkan tentang definisi-definisi data nominal, skala ordinal, skala selang dan skala nisbah. Data Nominal merupakan data yang tidak mempunyai nilai. Contohnya, 1 orang perempuan dan 2 orang lelaki tidak menggambarkan nila. Skala ordinal pula bermaksud mengkategorikan dan menyusun kategori mengikut urutan tertentu. Contohnya, setuju, tidak setuju, sangat tidak setuju. Seterusnya, skala selang bermaksud mengkategori, menyusun kategori dan membina unit yang sama. Contohnya, suhu. Akhir sekali, skala nisbah ialah mengkategori, menyusun kategori dan mengandungi satu nilai sifat sebenar. Contohnya, skor.

            Di akhir kuliah, kami diberikan beberapa soalan untuk dijawab. Soalan tersebut berkaitan dengan statistik. Kami diberi beberapa minit untuk menjawab soalan mengenai min, mod dan sisihan piawai. Kemudian, kami dikehendaki untuk menghantar jawapan tersebut.
Sekian, terima kasih. 

Jumaat, 28 September 2018

Refleksi Kuliah dan Tutorial Minggu 3


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam entri ini, saya akan mengupaskan tentang refleksi kuliah minggu 3 yang diadakan pada hari Rabu bersamaan 26 September 2018. Kuliah ini dikendalikan oleh Dr. Norsofiah yang berlangsung selama 3 jam.

Pada mulanya, Dr. Norsofiah bercakap tentang emosi iaitu seseorang yang dalam keadaan “marah”. Beliau memberitahu bahawa marah itu ada tekniknya tersendiri. Seseorang itu hanya boleh marah sekejap dan tidak perlu lama-lama. Hal ini kerana apabila marah menebal dalam diri seseorang, maka ia akan menjadi dendam. Marah yang diungkit juga lama-lama akan menjadi dendam. Oleh itu, buang lah perasaan marah kerana perasaan tersebut hanya dapat menjauhkan seseorang dengan orang lain. 

Selain itu, Dr. Norsofiah juga menerangkan tentang Kajian Literature. Kemudian, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan selama 40 minit. Tugasan tersebut adalah berdasarkan empat artikel yang diberikan oleh beliau. Melalui empat artikel itu, kami disuruh untuk mengenalpasti beberapa aspek seperti nama pengarang, tahun, objektif, kaedah, dapatan kajian, kelebihan, kekurangan dan kesimpula. Setelah itu, hasil tugasan tersebut dibentangkan dalam kelas.

Sumber: Google Image
Akhir sekali, Dr. Norsofiah juga telah memberi penerangan tentang pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Terdapat beberapa aspek penting dalam pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Hal ini dapat dilihat dalam jadual di bawah.                                                                                                                                                                                
Pendekatan kualitatif
Pendekatan kuantitatif

1. Sejarah
2. Etnografi
3. Lapangan

1.Kuasi eksperimental
2. Eksperimen benar   
3. Keratan rentas
4. Longitudinal
5. Tinjauan


Manakala akiviti tutorial pula, kami diberi beberapa kuiz dalam talian iaitu dengan memasuki laman sesawang https://edpuzzle.com/. Setelah itu, kami perlu log masuk akaun google untuk menyertai kuiz tersebut. Aktiviti kuiz ini bertujuan untuk melihat sejauh mana tahap kefahaman para pelajar tentang pendekatan kajian kuantitatif.

Sebagai rumusannya, aktiviti dalam kuliah dan tutorial yang dilakukan oleh para pensyarah amat berkesan dan lebih menyeronokkan bagi saya.

Sekian, terima kasih.

INFOGRAFIK ARTIKEL "CETUSAN PENULIS WANITA LAHIRKAN IWP" OLEH NISAH HARUN.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

        Entri ini adalah tentang artikel yang ditulis oleh Pn. Nisah Haron. Artikel tersebut bertajuk "Cetusan Penulis Wanita Lahirkan IWP". 

           Saya memilih artikel ini kerana artikel ini membuka mata kepada saya bahawa wanita juga dapat berjaya dengan hasil usaha sendiri. Seseorang wanita itu akan dikagumi oleh orang ramai kerana dapat menghasilkan idea yang bernas walaupun hanya menjadi seorang penulis. 



Sekian, Terima Kasih.



INFOGRAFIK CERPEN "LEMANG NAN SEBATANG" OLEH NISAH HARON.


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

              Saya menulis entri ini adalah bertujuan untuk berkongsi serba sedikit tentang elemen-elemen yang diperkatakan oleh Jais Sahok dalam cerpen Pn. Nisah Haron. Elemen-elemen tersebut boleh didapati pada laman sesawang https://jaissahok.blogspot.com/2011/10/elemen-elemen-cerpen.html?m=1.

              Cerpen Pn. Nisah Haron yang saya kaji ialah "Lemang Nan Sebatang". Elemen-elemen yang terdapat dalam cerpen tersebut dapat dilihat dalam infografik di bawah.